KUALA LUMPUR: Seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM26,000.
BH difahamkan, suspek berusia dalam lingkungan 30 tahun itu disyaki menerima rasuah sebagai balasan membantu dan mempercepatkan urusan pengeluaran lesen perniagaan berkaitan agensi terbabit.
Dia juga dipercayai menerima rasuah supaya tidak mengambil sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat berkenaan.
Sumber berkata, rasuah berkenaan disyaki diterima daripada pemilik sebuah syarikat yang dipercayai turut berkhidmat sebagai 'runner' dalam proses memperoleh lesen perniagaan itu.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan berkenaan antara 2019 hingga 2023.
"Pegawai penyiasat menerima maklumat bahawa suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui beberapa transaksi pemindahan wang ke dalam akaun bank peribadi miliknya," katanya, hari ini.
Sementara itu Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.\
Sumber : Berita Harian Online