Pegawai KPDN hadapi tiga tuduhan terima rasuah

Tarikh: 09/07/2025
img

SHAH ALAM: Seorang penolong pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM11,500 berhubung siasatan kesalahan membawa minyak masak terpakai tanpa lesen sah, tiga tahun lalu.

Sahzul Hisam Samsuri, 51, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan pertama, Sahzul didakwa menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuknya yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat di KPDN Selangor, tidak meneruskan siasatan kes kesalahan membawa minyak masak terpakai tanpa lesen sah.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima masing-masing RM5,000 daripada sebuah syarikat dan RM3,500 daripada seorang wanita menerusi pindahan wang ke akaun bank miliknya.

Sahzul Hisam didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan letak kenderaan di Taman Ramal Indah, Kajang dan cawangan sebuah bank di Sabak Bernam pada 7, 12 serta 13 September 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan menyerah pasport kepada simpanan mahkamah serta melapor diri di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam setiap awal bulan.

Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya digantung kerja sejak siasatan bermula pada Februari tahun lalu.

"Tertuduh hilang hampir 100 peratus sumber pendapatan tetap dan perlu menanggung isteri, tiga anak yang bersekolah serta bayi berusia sembilan bulan," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM9,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke Pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan serta tidak dibenarkan menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula 18 Ogos depan.

Sumber BHO

MACC FM
My Anti-Corruption Channel