Pegawai Kastam bebas tuduhan tipu PERKESO berhubung tuntutan bayaran 2 anak

Tarikh: 20/11/2026
img

TAWAU: Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) daripada tuduhan menipu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berhubung tuntutan bayaran Faedah Orang Tanggungan bagi dua anaknya, tujuh tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Rajis Muhid, 40, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Faizadh berkata tiada elemen pujukan yang menyebabkan saksi utama pendakwaan membenarkan transaksi pemindahan bahagian Faedah Orang Tanggungan berkenaan ke akaun tertuduh.

Mahkamah turut berpuas hati berdasarkan keterangan saksi utama pendakwaan, iaitu Pengurus Pejabat Tempatan PERKESO Tawau, bahawa isu penjagaan anak bukan perkara yang menjadi asas kepada pemindahan bahagian faedah berkenaan.

Malah, saksi itu bersetuju tertuduh tidak mempunyai sebab untuk melakukan penipuan dalam urusan pemindahan bahagian faedah terbabit.

Hakim turut mendapati pendakwaan gagal membuktikan elemen ketidakjujuran tertuduh, yang diperlukan bagi membuktikan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mahkamah juga mengambil kira ketiadaan perintah penjagaan anak bagi tempoh 2016 hingga 2019 sebagai faktor yang menunjukkan nenek kepada dua kanak-kanak berkenaan hanya menjaga mereka secara sementara.

Sepanjang perbicaraan bermula 2 Mac lalu, pihak pendakwaan memanggil 16 saksi untuk memberi keterangan.

Pada 20 Februari 2024, Muhammad Rajis didakwa menipu Pengurus Pejabat Tempatan PERKESO Tawau dengan memberikan pernyataan tidak benar berhubung keadaan tinggal bersama dua anaknya.

Ia sehingga mendorong saksi meluluskan bayaran Faedah Orang Tanggungan berjumlah RM9.14 sehari bagi setiap anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Wardah Izhhar, manakala tertuduh diwakili peguam Nurzaimah Deraman.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel