SEREMBAN: Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk mendapatkan kontrak kepada syarikat atas nama isterinya.
Rosdi Pilus, 50, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu kontrak perkhidmatan bagi isterinya dengan membuat padanan bayaran bagi baucar bayaran sebut harga perniagaan milik isterinya.
Ia berkaitan perolehan perkhidmatan pakej penginapan, makan dan minum Kursus Teknologi Reka Bentuk Pembungkusan dan Pelabelan Produk Zon Selatan bernilai RM19,990 pada 18 November 2021.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan memperakukan 'Kelulusan Ketua Bahagian' pada Borang Permohonan Pesanan Kerajaan atas nama syarikat milik isterinya.
Ia bagi perolehan Perkhidmatan Bagi Program Hari Sukan Negara 2022 (HSN2022) peringkat Negeri Sembilan berjumlah RM5,000 pada 23 Februari 2022.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahaya, menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Peguam Muhammad Wajih Zakwan Hanif memohon jaminan paling minimum terhadap anak guamnya kerana jumlah jdicadangkan adalah di luar kemampuan tertuduh dan penjaminnya.
Katanya, tertuduh memberi kerjasama baik kepada SPRM sepanjang siasatan selain berdepan satu pertuduhan sebelum ini dan turut ditawarkan satu jaminan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara bagi kedua-dua pertuduhan dan sebutan semula kes 7 Julai depan.