Pegawai Imigresen dalang kemasukan pendatang secara 'haram' bukan sahaja perasuah, malah pengkhianat negara

Tarikh: 17/09/2024
img

PEGAWAI imigresen yang bertugas di pintu keluar masuk sempadan negara sepatutnya mengawal kemasukan warga asing memasuki negara.

Malangnya mereka menjadi dalang kemasukan pendatang secara 'haram' dengan mengesahkan kehadiran mereka sambil mengumpul duit rasuah berjuta ringgit.

Justeru, bagi Belalang mereka yang terbabit ini bukan sahaja perasuah, malah mereka adalah pengkhianat negara.

Kita minta Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang dilantik Menteri Dalam Negeri bagi perhatian serius dalam isu ini sebab Jabatan Imigresen Malaysia atau JIM ini teramat penting.

Sukar untuk Belalang bayangkan apa bakal terjadi kalau pendatang asing yang tak sepatutnya berada di Malaysia, berlegar di seluruh pelosok negara sebagai pelawat dan pekerja sah.

Saif, nama panggilan mesra Saifuddin dalam kalangan rakan Kabinet dan parti beliau serta JIM perlu lihat semula SOP tugas pegawai mereka di lapangan terbang untuk melawan kejahatan perasuah dan pengkhianat negara ini.

Kalau dah saban hari, bulan dan tahun ada sahaja pegawai imigresen di KLIA dan pintu masuk lain ditahan, direman, didakwa serta dihukum, maka tak salah kalau Belalang nak kata Saif dan JIM gagal dalam melaksanakan tugas mereka.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel