Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, turut menekankan keperluan pematuhan terhadap Laporan SPRM (LSPRM), dengan Pejabat KSN akan mengeluarkan surat peringatan kepada kementerian dan kerajaan negeri yang masih belum mengambil tindakan susulan terhadap syor yang dikemukakan bagi 2017 hingga 2021.
Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam diarahkan menyemak semula beberapa bahagian penting dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), termasuk perkara berkaitan penerimaan tajaan pihak luar untuk program kerjasama pintar, sebagai langkah penambahbaikan dasar agar lebih telus dan berintegriti.
Kementerian Kewangan pula diminta mempertimbangkan garis panduan "Do's and Don'ts" Pelaksanaan Perolehan yang disediakan oleh Urus Setia JTK Peringkat Nasional untuk dijadikan rujukan rasmi, digubal sebagai pekeliling dan diedarkan ke semua agensi untuk diguna pakai secara menyeluruh.
Menurut SPRM, KSN turut mengingatkan semua ketua setiausaha (KSU) agar segera melaporkan sebarang kes rasuah yang diketahui di kementerian masing-masing kerana ia merupakan satu daripada indikator penting dalam Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP), sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh budaya antirasuah.
Sumber MyMetro