Ops Sky: Sindiket kaut sekurang-kurangnya 35 peratus pinjaman mangsa

Tarikh: 27/01/2025
img

KUALA LUMPUR: Syarikat perunding kewangan yang menguruskan pinjaman bank mangsa termasuk penjawat awam memperoleh sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman yang diluluskan.


BH difahamkan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), mendapati mangsa tidak memperoleh semua pinjaman, sebaliknya perlu membayar peratusan tertentu kepada syarikat mendalangi sindiket yang ditumpaskan dua minggu lalu.


Antaranya yuran perkhidmatan dikenakan sindiket sebanyak 35 peratus, manakala jika mangsa menyelesaikan pinjaman sedia ada, jumlah itu boleh mencecah sehingga 40 peratus.


Mangsa yang terdesak untuk membayar hutang terdahulu biasanya akan terjebak dengan situasi itu tanpa memikirkan kerugian dialami pada masa depan.


Mengulas perkara itu, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki mengesahkan sindiket berkenaan mengenakan yuran yang tinggi kepada mangsa.


Beliau berkata, hasil siasatan SPRM mendapati, sindiket berkenaan sudah mendapatkan pinjaman daripada pelbagai bank sekitar RM700 juta kononnya untuk membantu mangsa termasuklah penjawat awam.


"Mereka menguruskan pinjaman 'multiple loan' daripada pelbagai institusi kewangan serentak dan bersekongkol dengan pegawai bank yang akan memanipulasikan sistem yang ada.


"Peminjam pula akan dibebani hutang terlalu besar dan biarpun sindiket ini sudah dilumpuhkan, mereka akan kekal berhutang dengan bank dan perlu membayar hutang," katanya, di sini.


Mengulas lanjut, Azam berkata siasatan Ops Sky akan berterusan kerana ia membabitkan ramai mangsa dan dokumen.


"SPRM akan memanggil ramai saksi yang bekerjasama dalam kes ini," katanya.


Hari ini, BH melaporkan, hampir keseluruhan daripada ribuan mangsa termasuk penjawat awam terjebak dengan sindiket perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky, baru baru ini berkemungkinan tinggi tidak mampu membayar semula hutang pinjaman yang dilakukan mereka.


Ini kerana, siasatan SPRM mendapati, mangsa kini terbeban dengan hutang yang terlalu tinggi sehingga melebihi daripada keupayaan pembayaran hutang.


Difahamkan, ada mangsa yang mempunyai hutang pinjaman yang mencecah sehingga tiga kali ganda daripada keupayaan kewangan mereka sendiri sekali gus hutang itu dikatakan tidak akan selesai dalam masa terdekat.


Sejak dua minggu lalu, BH melaporkan, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.


Ia hasil penahanan 12 individu dalam hasil serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi melalui Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin.


Sumber: Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel