Ops Sky: Bukti kelemahan kawalan dalaman institusi kewangan - MCW

Tarikh: 20/01/2025
img

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan menerusi Ops Sky, baru-baru ini disifatkan bukti nyata berlaku kelemahan kawalan dalaman institusi kewangan.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melihat kes ini sebagai bukti bahawa korupsi dan penipuan kewangan bukan sahaja 'mencederakan' kepercayaan masyarakat tetapi juga melemahkan sistem kewangan negara.

Berikutan itu, MCW menggesa institusi kewangan mengukuhkan mekanisme pemantauan untuk mengesan dan mencegah manipulasi dokumen serta transaksi mencurigakan.

Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata sistem semakan dalaman perlu diperketatkan untuk memastikan integriti proses kelulusan pinjaman dan mencegah penyalahgunaan kuasa oleh kakitangan.

Selain itu, katanya penahanan SPRM ke atas empat pegawai bank, kelmarin menunjukkan skala penglibatan dalaman yang lebih luas dalam kes ini.

Sehubungan itu katanya SPRM perlu memperluaskan siasatan untuk mengenal pasti rangkaian dalaman yang terlibat dan memastikan tiada pihak yang terlepas daripada tindakan undang-undang.

"Banyak penjawat awam yang menjadi mangsa sindiket ini kerana kurang memahami risiko skim pinjaman dan pelaburan mencurigakan.

"MCW menyeru agar lebih banyak program pendidikan dan kesedaran dilaksanakan untuk memberi pendedahan tentang bahaya terjerat dalam sindiket seperti ini," katanya.

Di samping itu, katanya mangsa perlu diberi sokongan melalui kaunseling kewangan dan bantuan guaman.

Berita semalam, melaporkan SPRM mengesan hampir RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket menawarkan bantuan kewangan.

Menurut sumber, nilai pinjaman berkenaan diluluskan dalam tempoh hampir lima tahun sindiket itu beroperasi, bermula era pandemik COVID-19.

Sejak 2020, institut kewangan berkenaan dikenal pasti memperoleh keuntungan daripada yuran perkhidmatan dan yuran penyelesaian hutang lapuk dikenakan ke atas peminjam.

Mengulas lanjut, Jais berkata MCW bersedia mengadakan kerjasama dengan institusi kewangan dengan menawarkan program latihan integriti dan bengkel pencegahan rasuah kepada institusi kewangan.

Ini katanya, untuk memastikan kakitangan memahami tanggungjawab mereka dalam mencegah jenayah kewangan dan menyokong integriti sistem kewangan.

"Kita memuji tindakan proaktif SPRM dalam menyiasat kes ini. MCW berharap siasatan dijalankan secara telus, menyeluruh dan adil untuk memastikan semua pihak yang bersalah, termasuk pihak yang melindungi sindiket ini, dihadapkan ke muka pengadilan.

"MCW juga memandang serius perkara ini dan komited untuk terus menyokong usaha membanteras rasuah melalui pendidikan, advokasi dan kerjasama strategik dengan pihak berkuasa serta masyarakat," katanya.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel