KUALA LUMPUR: Sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang dibongkar menerusi Ops Sikaro baru-baru ini dikesan menggunakan taktik pengisytiharan palsu.
Menurut sumber, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati taktik pengisytiharan palsu dilakukan semasa proses import dengan meletakkan kod kastam tidak tepat atau menukar butiran barang.
Kata sumber, rokok dan cerut yang dibawa masuk itu disimpan di gudang persendirian sebelum diagihkan ke pasaran.
"SPRM tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu dalam radar yang dipercayai terbabit dalam kegiatan ini.
"Setakat ini seramai 14 orang individu diambil keterangan bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.
Menurut sumber itu lagi, tiada sebarang tangkapan baharu manakala sebanyak RM218 juta akaun syarikat dan individu dibekukan dalam kes itu, setakat ini.
Media sebelum ini melaporkan SPRM menggempur beberapa syarikat disyaki terbabit penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang dikesan mengakibatkan negara kerugian cukai sebanyak RM250 juta sejak lima tahun lalu.
Serbuan menerusi Ops Sikaro yang diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut mengesahkan Ops Sikaro dibuat hasil maklumat strategik diperoleh daripada Op Sohor yang menahan 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Difahamkan, sebanyak 14 syarikat disiasat SPRM disyaki terbabit sindiket penyeludupan tembakau, rokok serta cerut yang menyebabkan kerugian besar pada pendapatan cukai negara.
Sumber : Berita Harin Online