KUALA LUMPUR: Lima termasuk tiga pegawai sebuah agensi penguat kuasa yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) direman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Perintah tahan reman antara sehari hingga lima hari dikeluarkan Majistret S Arunjothy ke atas semua suspek berusia antara lingkungan 20-an dan 40-an itu, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM dalam satu kenyataan berkata, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kegiatan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya.
Ia susulan Ops Pump SPRM yang menggerakkan Ops Setting hasil perkongsian maklumat perisikan antara agensi.
Semalam, SPRM dilapor menahan 14 suspek dalam operasi di sekitar Lembah Klang sebelum semua suspek dibawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.
Sembilan daripadanya dilepaskan selepas direkodkan keterangan.
SPRM berkata, suspek penguat kuasa disyaki terbabit perbuatan itu sejak 2016 dengan menerima bayaran rasuah RM300 sampai RM2,500 sebagai balasan melepaskan warga asing masuk menggunakan modus operandi 'counter setting'.
Hasil serbuan turut menyita wang tunai lebih kurang RM200,000 dan barangan kemas bernilai RM50,000 serta beberapa kenderaan yang dibeli secara tunai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Sumber: Berita HarianĀ