KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu, iaitu bekas pemilik syarikat dan bekas ketua pegawai kewangan kerana disyaki mengemukakan butiran matan palsu kira-kira RM8.1 juta dalam Ops Flora, semalam.
Dalam operasi oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, sebanyak 11 premis di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan turut digempur, semalam.
Kami difahamkan, kedua-dua individu yang ditahan itu dipercayai terbabit dalam tuntutan palsu bagi penyediaan perkhidmatan sewaan mesin, fasiliti serta pelupusan sampah.
Sumber berkata, SPRM juga membekukan 76 akaun bank yang terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat, membabitkan jumlah kira-kira RM1.68 juta.
"Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
"Kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam rasuah dan pengubahan wang haram bagi penyediaan perkhidmatan sewaan mesin serta fasiliti antara tahun 2019 hingga 2021.
"Selain itu, siasatan juga memfokuskan kepada tuntutan perkhidmatan pelupusan sampah yang telah berlaku pada Januari hingga Oktober 2022 dan juga penerimaan wang rasuah," katanya.
Sumber berkata, kedua-duanya sudah dibenarkan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selama sehari sehingga esok selepas permohonan dibuat SPRM.
"Penyiasatan kini juga sedang mengenal pasti kesalahan-kesalahan jenayah lain di bawah Kanun Keseksaan serta kesalahan aktiviti pengubahan wang haram," katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sumber BH O.