KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa 13 pemilik syarikat di Mahkamah Sesyen di empat negeri esok menerusi Ops Daya 2.0 membabitkan kes tuntutan palsu insentif Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurut SPRM, pihaknya sudah mendapat izin mendakwa 13 pemilik syarikat terbabit di Pahang, Kedah, Kelantan dan Perak pada jam 8.30 pagi.
Katanya, dua individu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan di Pahang, manakala empat lagi di Mahkamah Sesyen 2 Alor Setar di Kedah.
Menurutnya, lima lagi individu akan didakwa di Mahkamah Sesyen 1 Kota Bharu di Kelantan, manakala dua lagi di Mahkamah Sesyen Jenayah (3) di Ipoh, Perak.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 1,638 syarikat dalam radar SPRM kerana disyaki memalsukan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM45 juta.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata Op Daya yang dijalankan bermula 9 Jun lalu menahan 97 individu dan 143 syarikat disiasat setakat ini.
Sebelum ini 73 individu terdiri ejen dan pemilik syarikat ditahan SPRM disyaki memalsukan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta.
Sumber dipetik berkata, suspek membabitkan 48 lelaki dan 25 wanita berusia 20 hingga 70-an itu ditahan di pejabat SPRM di seluruh negara kecuali Perlis.
Pada 9 Jun lalu, SPRM melalui Bahagian Perisikan, Bahagian Siasatan dan SPRM negeri dengan PERKESO menjalankan operasi bersepadu menyaksikan penggeledahan dijalankan di 90 lokasi membabitkan premis syarikat dan menahan seramai 83 individu yang terdiri daripada enam ejen dan 77 pemilik syarikat.
Sumber : berita Harian Online