Op Viking: Tiada saksi daripada SPRM setakat ini

Tarikh: 28/10/2026
img

KUALA LUMPUR: Tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenal pasti dalam kalangan saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan Op Viking, berhubung dakwaan kewujudan 'mafia korporat' di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui Op Viking, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan.

Ia dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) [Akta 613] pada 14 Oktober 2025.

Menurutnya, susulan itu, PDRM sudah mengambil tindakan penahanan beberapa individu serta membekukan dan menyita pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan.

"Seramai 70 individu sudah dipanggil untuk dirakam keterangan, setakat 25 September lalu.

"Berdasarkan kepada latar belakang dan identiti individu saksi yang dipanggil untuk rakaman percakapan, tiada pegawai SPRM terbabit atau dikenal pasti bagi tujuan membantu siasatan," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, malam tadi.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu skop dan status terkini siasatan PDRM terhadap dakwaan 'mafia korporat' susulan arahan Kabinet bagi menjalankan siasatan menyeluruh.

Ia termasuk jumlah pegawai SPRM atau agensi penguatkuasaan lain yang dipanggil atau disiasat serta dapatan dakwaan penyalahgunaan kuasa atau pengaruh dalam tindakan penguatkuasaan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, PDRM turut melakukan tindakan pembekuan dan penyitaan membabitkan lapan bidang hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun 'central depository system' (CDS), 70 akaun dagangan saham berjumlah kira-kira RM323.59 juta dan 404 akaun bank bernilai kira-kira RM85.62 juta.

"Siasatan Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan kertas siasatan.

"Kementerian memberi jaminan PDRM komited melaksanakan siasatan ini mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Terdahulu media melaporkan, laporan Bloomberg pada 12 Februari lalu mendakwa kewujudan 'mafia korporat' menyusup masuk ke dalam SPRM dengan mendakwa pegawai tertinggi terbabit dalam skim yang didalangi rangkaian ahli perniagaan bagi mengambil alih syarikat.

Dakwa Bloomberg, rangkaian longgar ahli perniagaan yang dirujuk sebagai 'mafia korporat' akan menyasarkan syarikat milik tempatan, menyingkirkan pengasasnya dan mengambil alih kawalan.

Skim yang didakwa itu membabitkan ahli kumpulan berkenaan terlebih dahulu memperoleh saham dalam syarikat sasaran sebelum mengugut pihak pengurusan dan memaksa mereka berundur.

Media turut melaporkan, polis menyita dan membekukan aset bernilai hampir setengah bilion ringgit dalam satu kejayaan besar siasatan berterusan terhadap sindiket pengubahan wang haram yang canggih dalam Op Viking.

Sementara itu, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman dipetik berkata kes itu, yang dibuka pada Oktober tahun lalu hasil risikan dikumpul sejak 2018.

Ia membabitkan rangkaian kesalahan yang kompleks, daripada pinjaman wang haram dan manipulasi pasaran saham sehinggalah pelanggaran pendedahan korporat.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel