KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lebih ramai pegawai bank untuk siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata menerusi Op Sky, pihaknya dijangkakan memanggil antara 15 hingga 20 pegawai bank untuk membantu siasatan berhubung kes itu.
Dalam pada itu, katanya SPRM juga dalam proses melakukan 'money trail' terhadap akaun bank tambahan yang disyaki terlibat dalam kesalahan rasuah dan juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
"SPRM juga tidak menolak berkemungkinan akan ada lagi perintah pembekuan dilakukan terhadap akaun-akaun bank tersebut," katanya.
Mengenai tangkapan terbaru empat pegawai bank menerusi Op Sky, kelmarin, Azam berkata SPRM akan mengekstrak data-data berkaitan permohonan pinjaman daripada sistem perbankan membabitkan empat pegawai bank terbabit bagi membantu siasatan.
"Selain daripada itu, pihak SPRM di dalam proses mendapatkan dokumentasi pinjaman daripada institusi perbankan," katanya.
Berita semalam, melaporkan empat lagi pegawai bank ditahan SPRM dalam siasatan Ops Sky, membabitkan sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.
Penahanan terbaru itu menjadikan 16 individu ditahan SPRM setakat ini, selepas serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi melalui Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.