KUALA LUMPUR: Siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai di beberapa institusi kewangan dalam Op Sky, dijangka selesai dalam tempoh sebulan lagi sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan memanggil lima hingga 10 saksi lagi untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata saksi-saksi yang terdiri daripada pegawai bank, pekerja syarikat perunding kewangan, peminjam baharu dan individu daripada sebuah pertubuhan akan dipanggil secara berperingkat pada minggu ini dan minggu depan.
"Keterangan mereka ini penting untuk dirakam, pertamanya daripada pegawai bank untuk menjelaskan beberapa prosedur yang masih kita perlu memperkemas dan ketahui.
"Ada juga peminjam-peminjam baharu yang pegawai bank perlu mengesahkan permohonan pinjaman mereka dan individu daripada pertubuhan itu hanya mengesahkan beberapa transaksi," katanya kepada pemberita selepas rakaman program Bicara Naratif terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Wisma Berita RTM, di sini hari ini.
Dalam operasi Januari lepas, SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang dan merampas kira-kira 4,000 dokumen serta membekukan 98 akaun bank melibatkan lebih RM17 juta.
– BERNAMA