KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai merakam keterangan 32 individu berhubung Op Metal yang membabitkan sindiket penyeludupan besi buruk serta e-waste di lima negeri.
Menurut sumber, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti elemen rasuah di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
"SPRM sudah mengambil keterangan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan itu. Setakat ini, seramai 32 individu sudah dirakam keterangan untuk membantu siasatan.
"Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan buat masa ini," kata sumber itu hari ini.
Katanya, jumlah sitaan dan pembekuan akaun yang dibuat setakat ini melebihi RM332 juta.
Sebelum ini, media melaporkan, kegiatan menyeludup keluar besi buruk untuk tujuan eksport dilakukan dengan mengikrarkan barangan itu sebagai jentera dan logam lain yang tidak tertakluk kepada cukai eksport sebanyak 15 peratus seperti ditetapkan kerajaan.
Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang sedang disiasat SPRM itu dipercayai antara individu yang terbabit dalam kegiatan menyeludup besi buruk ke luar negara bagi mengelak cukai eksport.
Sindiket berkenaan dikesan selepas SPRM melancarkan operasi serbuan di lima negeri, membongkar kerugian hasil cukai negara yang dianggarkan melebihi RM950 juta dalam tempoh enam tahun.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin sebelum ini mengesahkan nilai sitaan aset dan akaun yang dibekukan berkait kes itu mencecah RM332 juta.
Angka itu termasuk pembekuan 324 akaun bank membabitkan 142 milik syarikat dan 182 milik individu dengan nilai hampir RM150 juta, selain sitaan aset bernilai kira-kira RM183 juta.
SPRM melalui Op Metal bermula 14 Julai lalu mendedahkan penyeludupan skrap logam menyebabkan kerugian hasil lebih RM950 juta kepada negara dalam tempoh enam tahun, atau purata RM160 juta setahun.
Sumber: BH Online