Op Crack: Imigresen batal semua PLKS diluluskan secara tidak teratur

Tarikh: 02/08/2026
img

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan membatalkan semua Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikenal pasti diluluskan secara tidak teratur, selain mengesan keberadaan pemegang pas berkenaan untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata tindakan itu adalah langkah pertama yang diambil hasil penemuan berkaitan kelulusan PLKS yang tidak mengikut prosedur yang didedahkan menerusi Op Crack bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, jabatan itu akan mengesan lokasi semua individu terbabit sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

"Pertamanya tindakan kita ialah membatalkan semua PLKS yang diluluskan secara tidak teratur dan seterusnya mengesan di mana mereka berada.

"Buat masa ini, saya hanya boleh katakan mereka berada di beberapa lokasi. Kita tidak boleh mendedahkan butiran kerana jika didedahkan sekarang, mereka mungkin akan melarikan diri," katanya pada sidang media bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan seramai 12 individu termasuk enam pegawai Imigresen dan seorang pegawai polis ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi meluluskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.

Sindiket itu dipercayai memanipulasi sistem dengan menggunakan kuota PLKS 2011 tanpa membuat bayaran levi sebelum mengeluarkan 1,306 PLKS palsu, sekali gus menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan RM2.4 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, dilaporkan berkata kesemua suspek ditahan dalam operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Crack yang dijalankan dengan kerjasama Imigresen.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai Imigresen, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat Imigresen serta seorang pegawai polis.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel