KUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan yang ditubuhkan bersama jawatankuasa sebuah masjid dan sering membuat tajaan berbuka puasa menjadi pertubuhan kemanusiaan terbaharu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sejak tahun lalu, SPRM sudah menyiasat dan menyerbu tiga badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bantuan kemanusiaan, termasuk sebuah badan terkenal yang mengutip sumbangan untuk Gaza.
Dalam siasatan terbaharu itu, tiga individu termasuk pengerusi dan bendahari ditahan SPRM kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan program sumbangan makanan asas berjumlah kira-kira RM5 juta.
BH dimaklumkan, ketiga-tiga suspek terdiri dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan antara jam 3 hingga 5 petang semalam sewaktu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Difahamkan, siasatan awal mendapati bendahari NGO yang juga pengarah syarikat terbabit disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu dengan suspek lain pada 2021 hingga 2023.
"Semua suspek dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berkaitan program sumbangan makanan asas dengan niat untuk mengelirukan pihak NGO berkenaan.
"Kegiatan suspek menyebabkan pertubuhan itu membuat pembayaran berjumlah kira-kira RM5 juta," kata satu sumber hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Perintah reman selama empat hari sehingga 28 Februari terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sumber : Berita Harian Online