Nazir, Mubarak terima notis pengisytiharan harta 20 Oktober lalu - SPRM

Tarikh: 30/10/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Nazir Hussin dan abangnya, Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Husin.

Kedua-dua mereka menerima notis berkenaan pada 20 Oktober lalu.

BH difahamkan, Nazir yang juga bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menerima notis itu, sementara Mubarak menerima notis terbabit di kediamannya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kedua-dua mereka akur menerima notis berkenaan.

Katanya, notis berkenaan diserahkan mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bagi tujuan pengisytiharan harta.

Sebelum ini, media melaporkan Nazir memberi keterangan kira-kira dua jam di Ibu Pejabat SPRM pada 14 Oktober lalu.

Beliau dipanggil untuk menerima notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009, yang mewajibkan individu mengisytiharkan aset masing-masing.

Bagaimanapun, beliau enggan menerima notis dengan alasan sudah memfailkan permohonan injuksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sehari sebelumnya bagi menghalang pelaksanaan arahan mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Media pada 1 Oktober lalu melaporkan, dua ahli korporat adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira direman lima hari bagi membantu siasatan kes disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta.

Difahamkan, siasatan awal mendapati, mereka disyaki bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama pada penghujung 2020.

Sumber dilaporkan berkata, SPRM turut menyita pelbagai aset dan barangan termasuk 15 kereta mewah serta 12 motosikal berkuasa tinggi dalam siasatan berkenaan.

Turut disita lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel