KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan surat cadangan berhubung pelantikan 54 kontraktor bagi pelaksanaan 54 projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam keterangannya, berkata 54 syarikat terbabit yang disenaraikan di dalam surat itu bukan datang daripada beliau dan Kementerian Kewangan.
Menurut Tengku Zafrul, beliau tidak mengetahui sama ada syarikat yang disenaraikan Muhyiddin mempunyai kepentingan dengan bekas perdana menteri itu kerana beliau (Muhyiddin) tidak memaklumkan kepadanya.
"Tan Sri Muhyiddin juga tidak pernah memaklumkan kepada saya bahawa beliau dan BERSATU menerima sumbangan daripada syarikat yang disenaraikan pada surat ini.
"Saya sahkan saya tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada 54 buah syarikat yang disenaraikan di dalam surat ini.
"Saya tiada pengetahuan 54 buah syarikat ini pernah memberi sumbangan kepada mana-mana parti politik ataupun tidak," katanya.
Tengku Zafrul, 53, berkata surat berkenaan bertajuk 'Cadangan Pelantikan 54 Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan Lima Puluh Empat (54) Projek Di Bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Secara Rundingan Terus (Reka & Bina)' bertarikh 13 November 2020.
Berita lanjut menyusul
Sumber : Berita Harian Online