KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menutup kes selepas memanggil 29 saksi memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan pengubahan wang haram.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu kepada Hakim Noor Ruwena Md Nurdin selepas saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mazery Mohd Zaini selesai memberi keterangan hari ini.
Wan Shaharuddin turut memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan enam saksi kepada pihak pembelaan sekiranya Presiden BERSATU itu dipanggil membela diri.
"Pihak pendakwaan menutup kes selepas tiada lagi saksi yang perlu dipanggil untuk memberi keterangan dan enam saksi pendakwaan ditawarkan kepada pihak pembelaan.
"Enam saksi berkenaan ialah Datuk Dr Marzuki Mohamad, Adam Radlan Muhammad Adam Muhammad, Asmar Asmadi Abdullah Sani, Datuk Seri Asri Hamidon, Datuk Mohd Ayob Mohd Ali dan Mohd Shahmeizy Sulong," katanya.
Perbicaraan kes yang bermula 9 Mac tahun ini, antara lain menyaksikan keterangan Bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Dr Marzuki.
25 November fail hujahan bertulis
Mahkamah menetapkan 25 November bagi pihak pendakwaan dan pembelaan menfailkan hujahan bertulis, manakala hujahan lisan pendakwaan pada 26 November dan hujahan lisan pembelaan pada 1 hingga 3 Disember.
Prosiding dihadiri peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Amer Hamzah Arshad, Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin.
Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman Yusoff berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, mahkamah melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak akan meneruskan kes terhadap Muhyiddin yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd.
Sumber : Berita Harian Online