MPAJ perjelas dakwaan salah guna kuasa

Tarikh: 20/08/2024
img

Ampang: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menafikan dakwaan berlaku salah guna kuasa dan rasuah membabitkan kakitangannya seperti yang ditularkan di media sosial, baru-baru ini.

MPAJ dalam kenyataan berkata, laporan polis sudah dibuat berhubung perkara itu dan menegaskan tohmahan yang dilemparkan individu terbabit adalah tidak berasas dan provokasi semata-mata.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, isu bermula ketika pihaknya memberi taklimat kepada peniaga berhubung pematuhan syarat lesen ketika program gotong-royong di gerai Built, Operate and Transfer (BOT), di sini.

"Pada 4 petang Khamis, MPAJ melaksanakan semakan di gerai BOT terbabit bagi pemeriksaan keadaan dalam gerai (perangkap gris) dan pemantauan gerai (buka/tutup).

"Semasa semakan itu dijalankan, kakitangan MPAJ dimaki hamun dan dihalang untuk membuat pemeriksaan di tapak," kata kenyataan itu hari ini.

MPAJ berkata, beberapa individu dipercayai anak kepada salah seorang peniaga yang dikompaun membuat provokasi dan menghalang mereka daripada menjalankan tugas.

Menurutnya, kompaun dikenakan kepada beberapa peniaga terbabit antaranya kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen, dan ada juga yang melanggar syarat lesen dengan menggajikan pekerja warga asing.

"Segala tohmahan yang dilemparkan kepada kakitangan MPAJ adalah tidak berasas dan tiada sebarang salah guna kuasa memandangkan pemantauan dilaksanakan ke atas semua peniaga (di lokasi kejadian).

"Pihak MPAJ berharap dengan penjelasan ini, dapat memberikan gambaran sebenar kejadian yang berlaku di tapak niaga itu," katanya.

Terdahulu tular satu klip video berdurasi tiga minit 37 saat memaparkan sekumpulan individu bertekak dengan beberapa kakitangan MPAJ dipercayai berhubung isu kompaun.

Dalam video itu salah seorang individu mempertikaikan mengapa dirinya sebagai warga tempatan dikompaun dan mendakwa ada peniaga warga Thailand yang terlepas.

Salah seorang kakitangan MPAJ dilihat cuba menjelaskan perkara itu kepada kumpulan berkenaan, namun keadaan bertukar tegang selepas individu terbabit mendakwa kakitangan MPAJ meminta 'duit kopi' daripadanya.


Sumber: Harian Metro 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel