VSHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu termasuk seorang jurutera awam serta tiga pemilik syarikat disyaki memberi rasuah bagi memonopoli kesemua projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan di dua daerah di Sarawak.
Sumber berkata, perintah reman selama empat hari sehingga Sabtu terhadap dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah dikeluarkan Majistret Sandy Yvette Freddy, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Miri.
Kata sumber, dua lagi suspek lelaki berusia lingkungan 60-an ditahan reman selama sehari telah dikeluarkan Majistret Romario Jonoi, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sibu.
Sementara di Kuching, menurutnya, Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga Ahad terhadap empat suspek lelaki berusia antara 20 dan 40-an.
"Kesemua suspek telah ditahan kira-kira jam 7 pagi hingga 12 tengah hari pada Selasa di beberapa lokasi sekitar Sarawak melalui satu operasi khas yang dijalankan.
"Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dilakukan pada 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya digunakan turut menerima komisen sehingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.
"Pada masa yang sama, jurutera awam tersebut turut menerima upah kerana membantu mendapatkan projek-projek jabatan berkenaan," katanya pada Rabu.
Dalam operasi tersebut, sumber berkata, SPRM turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sumber: Sinar HarianĀ