Minta rasuah percepatkan kelulusan pekerja asing pulang ke negara asal, 3 pegawai JIM direman

Tarikh: 17/09/2024
img

Ipoh: Tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak antara empat individu yang ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penerimaan wang rasuah membabitkan Program Repatriasi Migran (PRM).

Tempoh reman bermula hari ini sehingga esok terhadap empat suspek berumur antara 30 hingga 55 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Siti Nora Shariff ketika mereka dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Difahamkan, tiga suspek penjawat awam dari JIM itu berpangkat Penguasa (KP42) dan Pegawai Imigresen masing-masing bertaraf KP19 dan KP22.

Kakitangan imigresen serta seorang ejen pekerja asing itu yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak antara petang semalam hingga malam tadi.

Mereka disyaki terbabit dalam aktiviti meminta dan menerima wang rasuah berjumlah antara RM50 sehingga RM300 dari setiap pekerja asing yang ingin pulang ke negara asal secara sukarela melalui PRM.

Wang rasuah yang diterima itu adalah sebagai balasan mempercepatkan kelulusan program dengan aktiviti itu dikesan bermula sejak dari Mac hingga September 2024.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel