Minta rasuah hingga RM1 juta: 5 individu termasuk dua pegawai penguat kuasa ditahan

Tarikh: 28/10/2026
img

KUALA LUMPUR: Lima individu termasuk dua pegawai agensi penguat kuasa persekutuan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah kira-kira RM1 juta.

BH dimaklumkan, suspek disyaki meminta dan menerima rasuah daripada sebuah agensi pekerja asing.

Ia sebagai balasan agar agensi penguatkuasaan berkenaan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan berkenaan pekerja asing di bawah seliaan agensi berkenaan.

Sumber berkata, kegiatan itu juga sudah berlangsung dengan begitu lama dan berlarutan sehingga beberapa tahun kebelakangan ini dan suspek dipercayai mengumpul kekayaan jutaan ringgit hasil perbuatan itu.

"Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku antara 2018 hingga 2025, membabitkan 44 transaksi pindahan wang dalam talian bernilai kira-kira RM1 juta.

"SPRM juga sedang mengesan beberapa aspek lain dalam kes membabitkan pembabitan penguat kuasa itu," katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Majistret Dhilip Nair R N Atchuthan membenarkan lima suspek direman lima hari hingga 1 November ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pagi tadi.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) dan 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

"Siasatan kes ini adalah bermula daripada operasi oleh Bahagian Perisikan SPRM dan tidak akan terhenti setakat penahanan ini," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel