Mengaku salah guna kuasa demi anak

Tarikh: 23/08/2024
img

Melaka: Bekas Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, tadi, atas kesalahan menggunakan jawatannya bagi memilih anak perempuan sebagai Penolong Pegawai Sumber Manusia (PSM) di syarikat itu enam tahun lalu.

Hukuman diputuskan Hakim Elesabet Paya Wan selepas menerima pengakuan tertuduh, Abu Bakar Jani, 64, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pilihan, Abu Bakar didakwa membuat urusan berhubung suatu harta iaitu bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM31,200 diterima anaknya yang dilantik ke jawatan PSM di anak Syarikat Kerajaan Negeri Melaka itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat itu beralamat di Lot 19B &19C Zone B, Bangunan Terminal Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak, dekat sini, pada 27 Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Pada 16 Februari lalu, tertuduh minta dibicarakan terhadap tuduhan utama mengikut Seksyen 23(1) ASPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Azrol memohon hukuman denda minimum kerana pengakuan tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah, sekali gus menunjukkan keinsafannya yang bertekad tidak mengulangi kesalahan.

"Tertuduh menghidap kencing manis, tidak bekerja dan hanya membantu iparnya berniaga warung goreng pisang.

"Isterinya suri rumah dan menghidap sakit darah tinggi selain menanggung dua anak yang masih belajar di universiti," katanya.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel