KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh mengambil tindakan terhadap individu di luar negara yang melindungi suspek diburu pihak berkuasa ketika mereka berlindung di negara terbabit.
Ini kerana tiada peruntukkan undang-undang yang membolehkan negara mengambil tindakan itu terhadap individu terbabit.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi, berkata dalam peruntukan undang-undang negara, adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan jika ada individu melindungi suspek buruan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika perbuatan itu berlaku di luar negara, ia berada di luar bidang kuasa undang-undang Malaysia untuk mengambil tindakan lanjut.
"Saya tegaskan mana-mana individu yang melindungi seorang pesalah yang sudah diarahkan untuk ditangkap, mereka melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan di negara ini, tetapi ini tidak termaktub jika ia berlaku di luar negara," katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang kini berada di luar negara.
Muhammad Adlan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikehendaki SPRM bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah.
BH hari ini melaporkan, sekurang-kurangnya lapan rakyat negara ini membabitkan ahli perniagaan, bekas pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tokoh korporat, berada dalam Notis Merah Polis Antarabangsa (INTERPOL) kerana diburu pihak berkuasa beberapa negara termasuk Malaysia, susulan pembabitan dengan pelbagai kes berprofil tinggi.
Mereka adalah antara 25 warga negara ini yang sedang diburu pihak berkuasa Malaysia atau dalam proses kelulusan permohonan Notis Merah INTERPOL atas pelbagai kesalahan, termasuk rasuah, penyelewengan kewangan dan jenayah berat.
Semalam BH melaporkan, Muhammad Adlan dikesan masih mempunyai harta dan aset di luar negara yang belum dibekukan dan ia mungkin digunakan untuk menampung kehidupannya di luar negara.
Sidang Dewan Rakyat semalam juga tegang seketika apabila isu membabitkan menantu Muhyiddin yang dilaporkan hidup mewah di Asia Barat dibangkitkan seorang Ahli Parlimen.
Ia bermula selepas Khoo Poay Tiong (PH–Kota Melaka), ketika mencelah perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 yang sedang dibahaskan Muhyiddin, memberitahu beliau ingin membangkitkan isu kemiskinan rakyat.
Ahmad Khusairi berkata, suspek yang mahu menyerah diri kepada pihak berkuasa negara perlu ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Konsulat atau Kedutaan Malaysia.
"Ini bagi membolehkan mereka dibawa pulang bagi menghadapi prosiding undang-undang," katanya.
Sumber: Berita harian Online