Mahkamah Persekutuan dengar 2 persoalan undang-undang berkaitan kes Na'imah Abdul Khalid

Tarikh: 04/03/2026
img

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan akan mendengar dua persoalan undang-undang berkaitan kes gagal isytihar aset yang dihadapi oleh Toh Puan Na'imah Abdul Khalid.

Ia selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan sebahagian persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu selaku pemohon.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin selepas meneliti hujahan bertulis pihak pembelaan dan pendakwaan.

"Namun begitu, saya hanya akan merujuk dua persoalan sahaja kepada Mahkamah Persekutuan. Itu sahaja," katanya dalam prosiding berkenaan.

Dua persoalan dibenarkan mahkamah itu berkaitan Seksyen 30(5) dan Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Antara persoalan yang dipertikaikan adalah sama ada seksyen berkenaan melanggar hak-hak terhadap menyalahkan diri sendiri atau hak untuk tidak dipaksa mengemukakan keterangan bukti yang menunjukkan seseorang bersalah untuk digunakan dalam prosiding.

Ia turut menyentuh hak untuk berdiam diri, prinsip anggapan tidak bersalah dan hak perbicaraan adil, yang melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Persoalan kedua adalah sama ada kedua seksyen itu memenuhi ujian kekadaran tiga peringkat seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Wan Ladin manakala Na'imah diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Pada 29 Februari 2024, Na'imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi bagaimanapun menolak permohonan rujukan Na'imah atas alasan ia tiada merit kerana tiada isu perlembagaan yang berbangkit dalam kes terbabit.

Bagaimanapun pada 21 Ogos 2025, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Na'imah untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan beliau bagi merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung kes gagal isytihar aset yang dihadapinya.

Hakim K Muniandy membenarkan permohonan semakan itu selepas mendapati permohonan rujukan berkenaan bukan sesuatu yang remeh, sebaliknya mengandungi persoalan penting yang perlu diperhalusi mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Na'imah, 68, didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel