Kuala Lumpur: Isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid hari ini dibenarkan Mahkamah Tinggi untuk menjadi pencelah dalam permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aset luar negaranya bernilai lebih RM1.1 bilion.
Aset luar pesisir itu membabitkan empat syarikat di Jersey, iaitu sebuah wilayah naungan British dengan nilai berjumlah AS$157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan £85 juta (RM490.7 juta).
Pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Na'imah selepas mendapati beliau mempunyai kepentingan untuk dinamakan sebagai defendan kerana permohonan SPRM membabitkan harta dan milikannya.
SPRM sebelum ini memfailkan permohonan itu secara sebelah pihak (ex parte) bagi menghalang Na'imah atau mana-mana pihak berkaitan daripada menguruskan aset itu yang didakwa diperoleh di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Na'imah memohon menjadi pencelah mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Muhammad Jamil dalam keputusannya berkata, permohonan SPRM mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA itu tidak boleh difailkan secara ex parte tanpa menamakan pihak yang terkesan, kerana ia akan memberi kesan langsung kepada hak milik seseorang.
Beliau berkata, selaras dengan prinsip keadilan asasi, pemohon wajar diberikan peluang untuk didengar sebelum mahkamah membuat apa-apa keputusan terhadapnya.
Katanya, ia adalah kerana permohonan yang difailkan menyentuh berkenaan harta dan milikan pemohon, oleh itu, beliau sepatutnya dinamakan sebagai responden.
"Pemohon menunjukkan kepentingan yang jelas dalam permohonan ini, dan berdasarkan pertimbangan undang-undang, beliau mempunyai hak untuk mencelah dan didengar. Oleh itu, permohonannya sebagai pencelah adalah dibenarkan," katanya.
Hakim itu kemudian menetapkan pada 12 Januari tahun depan bagi sebutan kes.
Na'imah diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au Tian Hui, manakala Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat bertindak bagi pihak pendakwaan.
SPRM selaku pendakwa raya memfailkan permohonan ex parte pada 25 Jun lalu, untuk menghalang Na'imah atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan aset luar pesisir berkenaan.
Agensi itu mendakwa aset berkenaan diperoleh Na'imah atau individu yang mempunyai kaitan dengan beliau di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.
Ini adalah permohonan ketiga difailkan pendakwaan selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom dan Singapura.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan bahawa lapan kertas siasatan dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Allahyarham Daim, keluarganya dan proksi.
Azam berkata, maklumat terkini menunjukkan aset terbabit tidak diisytiharkan ketika siasatan SPRM pada 2023.
Sumber: Berita Harian Online