Mahkamah benarkan gugur perkataan 'menerima' dalam kes rasuah Guan Eng

Tarikh: 07/05/2026
img

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, membenarkan permohonan pendakwaan untuk meminda tuduhan pertama terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kes rasuah projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan pendakwaan selepas mendapati pindaan itu perlu bagi memastikan tuduhan selaras dengan peruntukan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau berkata, walaupun pindaan hanya dikemukakan pada peringkat akhir kes pendakwaan, mahkamah berpandangan ia tidak akan memprejudiskan dan mendatangkan sebarang ketidakadilan kepada Guan Eng.

Katanya, pihak-pihak mempunyai hak mengikut Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah untuk memohon bagi memanggil semula saksi yang wajar berikutan pindaan kepada tuduhan itu.

"Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan selaras dengan Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Bagi tuduhan itu, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta.

Ia dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada prosiding 20 April lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pindaan berkenaan hanya membabitkan pengguguran perkataan 'menerima' dalam pertuduhan pertama, namun jumlah wang RM3.3 juta tetap ada dalam pertuduhan terbabit.

Beliau berkata, ia tidak menimbulkan sebarang prejudis kepada pihak pembelaan kerana pendirian mereka (pembelaan) tetap sama bahawa Guan Eng tidak pernah menerima RM3.3 juta itu.

Beliau berkata, pindaan itu adalah memenuhi kehendak undang-undang dan tidak memprejudiskan pihak pembelaan.

Katanya, undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak ada menyatakan sama ada menerima atau meminta sesuatu suapan tetapi adalah bertujuan untuk suatu suapan.

Bagaimanapun, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim membantah permohonan itu dan menegaskan bahawa elemen penerimaan adalah penting dan sekiranya perkataan itu dikeluarkan ia akan memprejudiskan pihak pembelaan.

Prosiding hari ini diteruskan dengan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat SPRM, Zulhilmi Ramli, yang merupakan saksi pendakwaan ke-38, memberikan keterangan di mahkamah.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel