KOTA BHARU: Seorang guru wanita dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan pindaan menggunakan slip gaji palsu bagi mendapatkan pinjaman RM65,000 kira-kira enam tahun lalu.
Hakim, Dazuki Ali, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah pada akhir kes pembelaan.
Guru, Norzaiza Ab Rahman, 48, didakwa menggunakan slip gaji Disember 2019 yang kononnya tulen dan dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di Kelantan bagi memohon pinjaman berjumlah RM65,000.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Simpanan Nasional (BSN), Jalan Pintu Pong, di sini, di antara 12 hingga 14 Januari 2020.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Peguam, Muhammad Hasif Hasan, mewakili tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan, hadir bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan.
Sementara itu, Muhammad Hasif berkata, anak guamnya yang mempunyai tiga anak berasa amat lega dan bersyukur kerana kes yang berlarutan selama enam tahun itu akhirnya selesai.
Beliau berkata, kes berkenaan banyak mengganggu kehidupan anak guamnya serta meninggalkan kesan mendalam sepanjang tempoh perbicaraan.
"Keputusan hari ini jelas menunjukkan anak guam saya tidak bersalah. Ia juga membersihkan nama beliau di mata masyarakat dan membolehkannya meneruskan kerjaya dengan tenang," katanya.
Sumber : Berita Harian Online