PEMBEKUAN dan penyitaan aset bernilai kira-kira RM409 juta dalam siasatan dakwaan kegiatan mafia korporat bukan angka kecil.
Jumlah itu cukup besar untuk menimbulkan persoalan tentang sejauh mana kegiatan jenayah korporat mampu beroperasi, siapa yang mendapat manfaat dan bagaimana kegiatan sedemikian boleh berlaku.
Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Viking wajar dilihat sebagai langkah serius dalam membongkar dakwaan berkenaan. Aset yang terbabit merangkumi 404 akaun bank dengan baki kira-kira RM85.62 juta, 70 akaun dagangan saham bernilai RM323.59 juta, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), lapan hartanah dan 11 kenderaan.
Namun, kejayaan membekukan aset bukan noktah kepada siasatan. Ia sepatutnya menjadi permulaan kepada usaha lebih menyeluruh untuk mengenal pasti rangkaian kegiatan, modus operandi serta pihak yang bertanggungjawab sekiranya wujud pelanggaran undang-undang.
Setakat 25 September lalu, seramai 70 individu telah dirakam keterangan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menjelaskan bahawa tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenal pasti terbabit atau membantu kegiatan yang disiasat.
Penjelasan ini penting bagi mengelakkan spekulasi, tetapi prinsip keadilan menuntut semua kemungkinan dinilai berdasarkan bukti, bukannya persepsi.
Dalam kes seumpama ini, wang dan aset yang dibekukan mungkin menggambarkan skala siasatan, tetapi tidak dengan sendirinya membuktikan seseorang melakukan jenayah. Setiap dakwaan mesti dibuktikan melalui proses undang-undang yang adil.
Pada masa sama, pihak berkuasa tidak boleh membiarkan kes berprofil tinggi berakhir dengan persoalan yang tidak terjawab.
Rakyat berhak mengetahui perkembangan siasatan setakat yang dibenarkan undang-undang, termasuk sama ada bukti mencukupi untuk membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.
Siasatan mesti diteruskan secara telus, profesional dan tanpa pilih kasih. Jangan sampai RM409 juta sekadar menjadi angka besar dalam laporan, sedangkan persoalan tentang siapa yang bertanggungjawab terus tergantung. Apa yang rakyat mahu bukan sekadar aset dibekukan, tetapi kebenaran dibongkar dan keadilan ditegakkan.
Sumber : Sinar Harian Online