LTAT lancar SETIA, tegas toleransi sifar terhadap salah laku

Tarikh: 10/11/2026
img

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melancarkan Strategi Etika, Tatakelola, Integriti dan Antirasuah (SETIA) 2026-2030 bagi memperkukuh agenda tadbir urus serta melindungi kepentingan pencarum.

LTAT dalam kenyataan berkata, pelancaran itu menyusuli kejayaan menyempurnakan semua 30 inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi 2022-2026.

SETIA menjadi fasa seterusnya dalam usaha memperkukuh integriti institusi, meningkatkan akauntabiliti dan menerapkan amalan beretika dalam operasi serta keputusan pelaburan LTAT.

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi, berkata amanah anggota Angkatan Tentera Malaysia terhadap institusi itu membawa tanggungjawab besar.

"Setiap keputusan pelaburan, setiap perbelanjaan dan setiap tindakan mesti dipandu oleh integriti, akauntabiliti dan profesionalisme bagi melindungi kepentingan serta masa depan mereka," katanya.

Mohammad Ashraf turut mengakui LTAT pernah berdepan cabaran dan kelemahan yang menguji keyakinan masyarakat terhadap tadbir urus serta integriti institusi berkenaan.

Beliau berkata, LTAT perlu mengakui dan mempelajari kelemahan lalu, selain memastikan perkara sama tidak berulang.

"Akan ada toleransi sifar terhadap salah laku, penyalahgunaan amanah atau sebarang pelanggaran piawaian etika. Dalam soal integriti, tiada pengecualian dan tiada kompromi," katanya.

Kerangka lima tahun itu merangkumi lima teras strategik dan 25 inisiatif yang dirangka untuk memperkukuh pengurusan risiko rasuah, menggalakkan ketelusan serta meningkatkan akauntabiliti.

LTAT berkata, kejayaan pelaksanaannya bergantung pada komitmen bersama seluruh organisasi supaya integriti menjadi tanggungjawab pada setiap peringkat dan bukan sekadar fungsi unit tertentu.

Sebagai badan berkanun yang ditubuhkan pada 1972, LTAT mengurus dana persaraan pegawai, anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia dan veteran.


Sumber; Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel