KUALA LUMPUR: Lima pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk meluluskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Perintah reman terhadap lima individu termasuk seorang pegawai wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Kelima-lima suspek ditahan semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan menerusi Ops Crack.
Penahanan terbaharu itu menjadikan seramai 11 pegawai Imigresen ditahan SPRM setakat ini dalam operasi berkenaan. Minggu lalu, enam individu termasuk dua pegawai daripada Bahagian Teknologi Maklumat jabatan itu turut ditahan bagi membantu siasatan kes sama.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, siasatan mendapati lima pegawai terbabit disyaki bersubahat menggodam MyIMMs bagi memastikan proses kelulusan PLKS dilaksanakan tanpa mematuhi prosedur yang sah, sekali gus mengelakkan kegiatan itu dikesan.
SPRM turut menyita lima telefon bimbit milik semua suspek bagi membantu siasatan.
Sumber sama berkata, setakat ini SPRM sudah merakam keterangan 17 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Selain itu, sembilan akaun bank turut dibekukan, membabitkan empat akaun milik individu dan lima akaun syarikat dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM300,000.
Minggu lalu, Imigresen memaklumkan akan membatalkan semua PLKS yang dikenal pasti diluluskan secara tidak teratur serta mengesan keberadaan pemegang pas berkenaan untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 12 individu termasuk enam pegawai Imigresen dan seorang pegawai polis ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam sindiket menggodam MyIMMs bagi meluluskan permohonan PLKS secara tidak sah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, dilaporkan berkata tindakan membatalkan PLKS berkenaan adalah langkah awal susulan penemuan kelulusan yang tidak mematuhi prosedur menerusi Ops Crack yang dijalankan bersama SPRM.
Sindiket itu dipercayai memanipulasi sistem dengan menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi sebelum mengeluarkan 1,306 PLKS palsu, menyebabkan kerajaan dianggarkan kerugian RM2.4 juta.
Sumber : Berita Harian Online