KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan lebih 4,000 penjawat awam terpedaya dengan sindiket tawaran pinjaman didalangi pegawai bank di beberapa institusi kewangan negara.
Siasatan menunjukkan selepas pinjaman diluluskan, peminjam akan membayar balik wang pendahuluan daripada sindiket, manakala baki pinjaman dilaburkan dalam skim pelaburan.
Difahamkan, ramai menjadi mangsa dan terpedaya dengan kegiatan itu selepas sindiket dikatakan masuk ke kementerian dan jabatan awam di seluruh negara dengan berselindung di sebalik agensi kewangan yang membantu menguruskan kewangan.
BH difahamkan, sindiket menjayakan jelajah ke jabatan kerajaan dan mempamerkan diri sebagai agensi bantuan kewangan yang boleh membantu penjawat awam yang mempunyai pinjaman atau hutang lapuk.
Mereka juga dikatakan menjadikan media sosial sebagai medan utama untuk menarik ramai mangsa yang akan terpedaya dengan janji sindiket yang mendakwa mampu menyelesaikan masalah kewangan mereka.
"Sindiket menjadikan platform media sosial sebagai medan untuk memburu mangsa dengan menawarkan khidmat bantuan perunding kewangan, malah akan mengadakan jelajah di jabatan serta kementerian awam untuk menarik penjawat awam.
"Setakat ini, pihak berkuasa mengesan ribuan mangsa adalah penjawat awam," kata sumber kepada BH, di sini semalam.
Kelmarin, SPRM menumpaskan sindiket menjalankan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram bagi membolehkan penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk mendapatkan pinjaman peribadi di institusi perbankan tempatan.
Menerusi serbuan di 24 lokasi melalui Ops Sky yang dijalankan di rumah kediaman dan pejabat sekitar Lembah Klang, seramai 12 individu ditahan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Terima rasuahÂ
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata berdasarkan siasatan awal, SPRM percaya terdapat pegawai di beberapa institusi perbankan yang menerima rasuah daripada pegawai syarikat perunding kewangan sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan pinjaman peribadi pelanggan yang dikenal pasti mempunyai hutang lapuk.
Mereka ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, selain pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.
Menerusi Ops Sky itu, SPRM membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta, selain menyita sembilan kenderaan pelbagai jenama, wang tunai, jam tangan mewah, beg tangan berjenama serta barangan kemas.
Pegawai bank dikatakan akan mengenal pasti penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk, seterusnya diperkenalkan kepada syarikat perunding kewangan yang akan menawarkan bantuan skim multiple loan.
Syarikat perunding kewangan ini dipercayai membantu menyediakan dokumen mengandungi maklumat palsu yang dihantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.
Hasil siasatan menunjukkan syarikat perunding mendahulukan wang kepada peminjam untuk melangsaikan hutang itu dan selepas pinjaman diluluskan, peminjam akan membayar balik pendahuluan itu, manakala baki pinjaman dilaburkan dalam satu skim pelaburan.