TAMPIN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima aduan rasmi berhubung dakwaan sogokan membabitkan pengundi awal yang ditimbulkan beberapa pihak, baru-baru ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata aduan berhubung sogokan perlu disalurkan terus kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
"Sebenarnya aduan (berhubung sogokan) sepatutnya dikemukakan kepada pihak berkaitan iaitu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Ia berikutan perkara itu (sogokan) membabitkan isu rasuah yang perlu disiasat oleh agensi berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau semakan isi peti undi PRN Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Perdana Tampin di sini, hari ini.
Ramlan berkata, pihaknya hanya menerima laporan berkaitan kesalahan kecil pilihan raya yang sudah diambil tindakan darisemasa ke semasa.
"Kami (SPR) cuma mengambil kira perkara berkaitan proses pilihan raya. Kami tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung sogokan atau lain-lain perlakuan berkaitan.
"Justeru, kita harap pihak yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu dapat mengemukakan aduan rasmi terus kepada SPRM atau PDRM," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, mendakwa ada pihak di Jelebu menawarkan sejumlah wang supaya mengundi parti tertentu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok.
Beliau mendakwa, perkara sama dikatakan turut berlaku di beberapa lokasi dan tersebar di media sosial.
Sumber : Berita Harian Online