Laman web SPRM papar 'garis masa' siasatan, perbicaraan kes

Tarikh: 09/05/2023
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat pertama kalinya memaparkan inisiatif 'garis masa' bagi memudahkan orang ramai meneliti perjalanan lengkap, siasatan dan perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi dan menarik perhatian umum.

 

Setakat ini, menerusi inisiatif yang dikatakan bermula sejak kelmarin itu, sejumlah 12 kes rasuah berkepentingan awam yang masih dibicarakan di mahkamah, dimuat naik dalam ruangan garis masa di laman sesawang SPRM.

 

Difahamkan, langkah itu sebagai satu usaha untuk memastikan rakyat menerima maklumat rasmi yang tepat, selain mengetahui status kes yang disiasat SPRM.

 

Ia juga dilihat sebagai langkah untuk membendung persepsi masyarakat yang sentiasa mempersoalkan status siasatan kes berkepentingan awam yang dibuka SPRM.

 

"Objektif Garis Masa Kes ialah untuk memberikan maklumat rasmi secara tepat kepada orang ramai tentang status kes tertentu SPRM yang berkepentingan awam.

 

"SPRM akan memberikan seberapa banyak maklumat yang boleh dilaporkan tanpa mengganggu siasatan yang sedang dijalankan, menjejaskan hak tertuduh bagi mendapatkan perbicaraan yang adil atau menyebabkan kerosakan reputasi atau kemudaratan kepada individu atau organisasi yang sedang disiasat," kata SPRM seperti yang dipaparkan dalam laman web itu.

 

 

Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel