Lagi RM6 juta masuk akaun BERSATU

Tarikh: 11/03/2026
img

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi yang mendengar kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini diberitahu, RM6 juta dimasukkan ke dalam akaun bank BERSATU secara berperingkat empat tahun lalu.

Bekas Penolong Pengurus Ambank (M) Berhad Cawangan Amcorp Mall, Nor Paizah Osman, 45, yang memberikan keterangan selaku saksi pendakwaan kedua, berkata wang itu dimasukkan melalui 10 transaksi di antara 21 Februari 2022 dan 17 November 2022.

Menurut Nor Paizah ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat pada sesi pemeriksaan utama, Muhyiddin adalah Presiden BERSATU sepanjang tempoh kemasukan wang berkenaan.

Semalam, pegawai bank CIMB memberitahu mahkamah, akaun BERSATU menerima RM19.3 juta melalui 28 transaksi cek di antara 24 Ogos 2021 dan 11 November 2022 yang menimbulkan kecurigaan dan dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Disoal lanjut oleh Noralis, Nor Paizah berkata akaun yang menerima kemasukan wang itu dibuka atas penama persatuan atau pertubuhan BERSATU dan adalah jenis akaun semasa AmBank yang dibuka pada 18 September 2018 di cawangan beliau.

Menjelaskan lanjut, saksi itu berkata enam penandatangan yang dinamakan dalam akaun itu iaitu Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Mohamed Salleh Bajuri, Muhammad Suhaimi Yahya, Muhammad Zulhelmi Zaulkafly dan Ili Syazwani Karmaine.

Saksi itu dalam keterangannya, turut menyatakan bahawa tidak wujud syak wasangka terhadap akaun berkenaan dan transaksi melalui 10 cek itu juga tidak menimbulkan sebarang masalah kerana tiada inkuiri daripada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mengenainya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sesi pemeriksaan semula, Nor Paizah berkata tujuan cek dimasukkan adalah di luar pengetahuannya.

Katanya, bank juga tidak mengetahui tujuan wang itu dimasukkan atau bertanyakan mengenai perkara terbabit kerana pihaknya hanya menerima cek dan memprosesnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Muhyiddin yang didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa dan empat tuduhan pengubahan wang haram.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam bela Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad, Nor Paizah bersetuju dengan cadangan bahawa transaksi wang ke dalam akaun BERSATU dilakukan tanpa berselindung.

Menurut Nor Paizah, sebarang pembukaan akaun dan transaksi berkenaan adalah dilakukan secara telus dan teratur serta direkodkan dalam sistem bank terbabit.

Amer Hamzah: Dalam konteks ini, sepanjang akaun BERSATU dibuka, pernah atau tidak bank mendapat aduan dari Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung apa-apa isu berkaitan kewangan parti?

Nor Paizah: Tidak pernah.

Amer Hamzah: Pernah atau tidak dapat apa-apa inkuiri dari BNM?

Nor Paizah: Tidak ingat.

Amer Hamzah: Berdasarkan mandat minit, untuk mengeluarkan wang, perlu mendapat persetujuan sekurang-kurangnya dua pemegang amanah?

Nor Paizah: Ya.

Nor Paizah juga bersetuju dengan peguam itu bahawa tiada seorang pun di antara enam penama tandatangan mempunyai kawalan penuh ke atas akaun itu.

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian adalah Perdana Menteri dan Presiden BERSATU berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik BERSATU di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 13 April ini.


Sumber : Berita Harian Online



MACC FM
My Anti-Corruption Channel