KPN, KP SPRM digesa jelaskan perkembangan siasatan mafia korporat

Tarikh: 21/08/2026
img

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara (KPN) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyatakan dengan jelas perkembangan siasatan berhubung dakwaan operasi 'mafia korporat'.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, berkata pada Mac lalu, Kabinet sudah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan berhubung perkara berkenaan.

"Masa yang mencukupi sudah berlalu sejak itu untuk pihak polis dan SPRM meneliti dakwaan terbabit serta menjalankan siasatan yang diperlukan.

"Perkara ini menjadi isu berkepentingan awam yang besar dengan implikasi antarabangsa yang ketara serta boleh menjejaskan keyakinan pasaran, menjadikannya isu nasional yang menuntut tindakan segera dan tegas," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Gobind berkata, terdapat juga dakwaan mengenai beberapa individu mendalangi operasi dalam skim berkenaan.

Katanya, adalah penting untuk menyatakan tindakan yang sudah diambil setakat ini dan apa yang akan berlaku seterusnya dalam perkara berkenaan.

"Saya menggesa KPN dan Ketua Pesuruhjaya SPRM menyatakan sama ada individu yang mungkin dapat membantu siasatan, seperti Victor Chin, dipanggil bagi membantu siasatan.

"Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui kedudukan semasa perkara ini dan apakah langkah konkrit yang akan diambil seterusnya bagi menangani isu ini," katanya.

Justeru, beliau menggesa KPN dan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menyatakan pendirian tanpa lengah serta memperincikan bagaimana mereka berhasrat untuk menyelesaikan perkara terbabit.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel