BANGI: Seorang anggota polis sebak selepas Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tuntutan elaun perjalanan berjumlah RM3,000, enam tahun lalu.
Majistret, Saira Banu Mohamed Ashrof Raja, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Koperal Muhamad Afiq Khalid, 34, di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Saira Banu berkata, tiada bukti fizikal penyerahan atau kemasukan data iaitu tiada saksi pendakwaan yang dapat mengesahkan tertuduh sendiri menyerahkan dokumen itu kepada ketua cawangan atau pegawai kewangan.
"Selain itu, cop akuan terima pada borang berkenaan juga tidak pernah dikemukakan atau dibuktikan sebagai diserahkan oleh tertuduh.
"Sehubungan itu, pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan dalam kes ini, maka tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri," katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu 'Kenyataan Tuntutan Elaun Perjalanan Dalam Negeri' bagi Jun 2020 (merangkumi tuntutan elaun makan, harian, dan lojing) berjumlah RM1,780 manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan kenyataan tuntutan elaun sama bagi Januari 2020 berjumlah RM1,220.
Dakwaan menyatakan tertuduh mengetahui kedua-dua dokumen berkenaan adalah palsu semasa menggunakannya.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Kewangan, Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Semenyih, Selangor masing-masing pada 1 Julai 2020 dan 10 Februari 2020.
Oleh itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sepanjang kes perbicaraan, seramai 10 saksi dipanggil memberikan keterangan dan tertuduh diwakili peguam, Khairul Naim Rafidi dan Mariani Tan.
Sumber : Berita Harian Online