Konspirasi bongkar sisi gelap kuasa

Tarikh: 21/05/2026
img

PUTRAJAYA: Dunia penggodaman, rasuah dan perebutan kuasa menjadi nadi utama filem aksi thriller terbaharu, Konspirasi, arahan Ghaz Abu Bakar yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Diterbitkan Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films dengan kerjasama Primeworks Studios selaku rakan pemasaran rasmi, filem berkenaan menggabungkan elemen aksi, siasatan siber dan konflik politik dalam sebuah naskhah penuh intensiti.

Berkongsi lanjut perkara itu, Ghaz berkata, filem itu bukan sekadar karya aksi semata-mata, sebaliknya mengetengahkan realiti rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam masyarakat.

"Kita tahu perkara seperti itu memang berlaku. Bukan mahu menyentuh isu yang dianggap tabu, tetapi saya cuba tonjolkan kedua-dua sisi, iaitu kebaikan dan keburukan.

"Dalam filem ini, saya cuba satukan dunia penggodaman dan rasuah, sesuatu yang saya rasa belum pernah dipaparkan secara meluas di layar perak tempatan.

"Saya juga mengambil inspirasi daripada isu rasuah yang berlaku bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Masyarakat sendiri boleh melihat kesannya," katanya pada tayangan perdana dan sidang media filem berkenaan di GSC IOI City Mall, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ghaz, mesej utama yang cuba disampaikan menerusi Konspirasi ialah kesan buruk rasuah terhadap kehidupan manusia, termasuk institusi kekeluargaan.

"Apa yang saya cuba sampaikan ialah bahaya rasuah kepada generasi akan datang. Saya mahu penonton faham bagaimana rasuah boleh memberi kesan besar sehingga merosakkan rumah tangga, hubungan kekeluargaan dan keturunan," katanya.

Pada masa sama, pengarah filem Polis Evo itu berkata, proses pembikinan Konspirasi turut melalui penelitian ketat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan setiap elemen dipaparkan tepat dan berlandaskan prosedur sebenar.

"Untuk penulisan skrip, semestinya kami perlu melalui piawaian dan penelitian daripada pihak SPRM, termasuk pada peringkat tertinggi.

"Kami juga melakukan kajian bersama pegawai unit siasatan dan unit forensik SPRM. Malah, kami mendapatkan pandangan bekas anggota bagi memastikan segala aspek dipaparkan tepat termasuk penggunaan istilah, struktur arahan dan rantaian kuasa dalam organisasi," katanya.

Menurut Ghaz, selepas skrip diluluskan, barulah proses penggambaran dimulakan.

Bagaimanapun, Ghaz mengakui mereka berdepan beberapa cabaran pada peringkat akhir penyuntingan apabila pihak SPRM meminta beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap filem itu.

"Ketika filem ini ditayangkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, ada beberapa teguran diberikan dan kami terpaksa melakukan suntingan semula, termasuk menambah beberapa adegan bagi menguatkan elemen aksi.

"Selepas itu, kami berdepan pula cabaran dengan pihak Lembaga Penapis Filem (LPF). Namun, mereka sebenarnya tidak mempunyai banyak masalah dengan filem ini," katanya.

Menurut Ghaz, pihak LPF hanya meminta beberapa penjelasan berkaitan elemen teknikal, termasuk penggunaan 'green screen' dan kandungan komputer sebelum penambahbaikan dilakukan.

Ghaz berkata, proses mendapatkan kelulusan tayangan turut mengambil masa kerana isu diketengahkan dalam filem itu dianggap sensitif, terutama membabitkan politik.

"Saya rasa jarang ada filem tempatan yang berani memaparkan dialog mengkritik seorang Perdana Menteri seperti dalam filem ini. Jadi, itu antara cabaran terbesar kami untuk mendapatkan kelulusan.

"Bagaimanapun, selepas menonton filem ini secara keseluruhan, pihak yang mempunyai kuasa meluluskan tayangan memahami konteks sebenar cerita dan sedar bahawa ia hanyalah karya fiksyen, walaupun ada elemen diinspirasikan daripada kisah benar," katanya.

Barisan pelakon yang membintangi Konspirasi termasuk Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis, Roy Azman dan Esma Daniel.

Konspirasi mengisahkan SPRM yang menerima maklumat sulit mengenai sebuah pelayar tersembunyi yang menyimpan senarai ahli politik korup serta transaksi kewangan luar negara.

Demi memastikan maklumat itu tidak jatuh ke tangan pihak tertentu, Tan Sri Kamil lakonan Roy mengarahkan pasukan elit diketuai Adli (Adi) bersama Ily (Shiqin), Dhani (Hisyam) dan Maya (Alicia) melancarkan operasi sulit berisiko tinggi.

Namun, operasi berkenaan bertukar menjadi malapetaka apabila sebahagian data mula bocor ke media dan laman gelap sehingga mencetuskan krisis politik negara.



Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel