Konspirasi angkat perjuangan SPRM ke layar perak - Azam Baki

Tarikh: 11/05/2026
img

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yakin filem Konspirasi mampu membantu meningkatkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi berkenaan.

Menurut Azam, naskhah arahan Ghaz Abu Bakar itu juga menjadi antara medium penting untuk memperkenalkan fungsi dan peranan SPRM kepada masyarakat secara lebih meluas.

Katanya, hasrat untuk membawa jenama SPRM ke layar perak sudah lama dipendam dan filem itu dianggap sebagai satu realiti yang dinantikan.

"Itulah niat saya sejak awal, malah sebelum memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya lagi.

"SPRM perlu dipasarkan sepenuhnya melalui pelbagai cara termasuk filem agar masyarakat lebih mengenali kami," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem Konspirasi di sini, petang tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima serta Primeworks Studios, Nini Yusof

Azam berkata, filem itu juga selari dengan tema baharu SPRM iaitu 'Berani dan Radikal' dalam usaha memerangi rasuah serta memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap integriti agensi penguatkuasaan berkenaan.

Menurutnya, Konspirasi turut mengetengahkan elemen teknikal termasuk penggunaan sistem 'Air Gap' bagi menggambarkan tahap keselamatan data yang tinggi serta risiko kebocoran maklumat menerusi penglibatan 'orang dalam'.

"Apabila tidak berlaku kebocoran maklumat dalam mana-mana agensi, maka tidak akan berlaku ketirisan.

"Maklumat yang bocor boleh menyebabkan kemudaratan besar kepada keselamatan negara," katanya.

Dalam pada itu, Azam turut mendedahkan beliau memberi perhatian terhadap pemilihan pelakon bagi memastikan setiap watak mampu menjaga imej SPRM dengan baik.

"Ketika penerbit datang berjumpa saya, saya hanya minta satu perkara iaitu pastikan semua pelakon lelaki dan wanita menepati apa yang saya mahukan.

"Barisan pelakon hari ini semuanya yang saya suka. Jika tidak, saya akan minta ditukar tanpa mengira siapa pun.

"Tetapi apabila dimaklumkan Datuk Adi Putra dan Che Puan Sarimah Ibrahim antara yang terbabit, saya terus bersetuju," katanya.

Malah, bagi menjayakan filem itu, Azam turut meminjamkan pakaian seragam asal SPRM kepada Roy Azman.

Selain Adi Putra, Roy Azman dan Sarimah, filem Konspirasi turut dibintangi Esma Daniel, Hisyam Hamid, Alicia Amin dan Amir Nafis.

Filem terbitan Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films itu bakal menemui penonton pada 21 Mei ini.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel