Kompaun kes rasuah bukan 'pembebasan automatik' - Peguam Negara

Tarikh: 22/06/2026
img

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan keputusan menarik balik pertuduhan dan penggunaan mekanisme penyelesaian dalam bentuk tawaran kompaun bagi kes rasuah berprofil tinggi bukan 'laluan mudah untuk dilepaskan' atau 'pembebasan automatik' bagi tertuduh.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata mekanisme itu tertakluk kepada undang-undang serta penelitian berlapis-lapis yang mana ia dilaksanakan mengikut lunas undang-undang termasuk melalui proses penelitian ketat.

Beliau berkata kaedah penyelesaian alternatif seperti kompaun di bawah undang-undang pengubahan wang haram hanya digunakan sebagai pilihan terakhir apabila perbicaraan penuh tidak lagi praktikal dari sudut perundangan atau logistik.

Katanya mekanisme itu bukan bertujuan mengurangkan akauntabiliti, sebaliknya mahu menjaga kepentingan awam dengan memastikan pemulihan segera aset negara selain mengambil kira perubahan dari aspek keterangan serta faktor kemanusiaan.

"Tiada peraturan tetap atau formula khusus dalam menentukan sama ada sesuatu kes rasuah layak ditawarkan penyelesaian kompaun.

"Sebaliknya, setiap kes perlu melalui penelitian menyeluruh terhadap bukti dan perbincangan bersama pasukan penyiasat bagi memastikan sama ada pendakwaan atau pelucuthakan harta masih boleh diteruskan sebelum kompaun dipertimbangkan.

"Jika surat representasi dikemukakan bagi pihak suspek atau tertuduh, siasatan lanjut yang teliti perlu dijalankan terhadap alasan yang dikemukakan bagi mengesahkan kesahihannya," katanya kepada New Straits Times.

Penjelasan itu mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) mengenai trend peningkatan penggunaan tawaran kompaun dan penyelesaian dalam kes berkaitan rasuah.

Presiden TI-M, Dr Raymon Ram, sebelum ini berkata kecenderungan yang semakin meningkat untuk menggunakan mekanisme kompaun itu tanpa penerangan awam boleh menjejaskan keyakinan terhadap institusi antirasuah, serta menimbulkan persoalan mengenai akauntabiliti.

Raymon turut menggesa AGC dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih telus mengendalikan pertuduhan berkaitan rasuah yang dihentikan menerusi penyelesaian tawaran kompaun, penyelesaian luar mahkamah atau pemulihan aset.

Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata, antara faktor yang dipertimbangkan dalam penggunaan mekanisme kompaun ialah kewujudan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.

Memandangkan kompaun mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), beliau berkata penyelesaian itu hanya boleh ditawarkan jika benar-benar wujud hasil wang haram ikut undang-undang itu.

Faktor penentu kompaun

Sebagai contoh, katanya, AGC tidak boleh menawarkan kompaun dalam kes cubaan memberi rasuah sekiranya tiada hasil atau keuntungan haram yang diperoleh suspek.

"Selain itu, jumlah kompaun juga ditetapkan pada kadar yang jauh lebih tinggi daripada nilai suapan sebenar bagi memastikan elemen hukuman kekal berkesan, menghalang pesalah daripada meraih keuntungan, memberi kesan pencegahan kewangan serta memaksimumkan pemulihan aset negara.

"Faktor lain yang turut dipertimbangkan adalah sama ada kerajaan mengalami kerugian secara langsung, kelemahan dari segi bukti, kematian atau kehilangan saksi penting dan saksi bertukar menjadi tidak menyokong pendakwaan.

"Ia termasuk kesukaran mendapatkan dokumen material, kos pendakwaan yang tidak seimbang dengan nilai suapan, halangan perundangan yang kompleks serta pertimbangan kemanusiaan dan keadilan," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel