'Kita mahu kembalikan AS$2 billion lagi dana berkaitan 1MDB kepada negara' - Azam Baki

Tarikh: 07/05/2026
img

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan kira-kira AS$2 bilion (RM7.9 bilion) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dikembalikan kepada negara menjelang hujung tahun depan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata ia membabitkan beberapa individu dipercayai menyimpan aset dan dana dipercayai diperoleh daripada skandal berkenaan di luar negara.

"Dalam hal ini, kita mahu mengembalikan lagi AS$2 billion dan pada saya, ia satu lagi cabaran yang kena hadapi.

"Ia cabaran yang kita (mungkin) hadapi pada masa akan datang dari segi perundangan, namun saya boleh katakan SPRM mempunyai kerjasama baik dengan negara luar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azam bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit berikutan proses perundangan dan siasatan yang masih berjalan.

Beliau berkata, SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa dan kerajaan luar negara bagi mengesan serta mendapatkan semula aset dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.

"Kesanggupan kami dalam menghadapi cabaran dalam kes 1MDB sejak 3 Julai 2015. Itu adalah sejarah kerana saya yang membuka fail 1MDB.

"Dari 2015 hingga 2025, sehingga kes ini dituduh di mahkamah dan sekarang ini proses kita nak bawa duit ini kembali," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel