CYBERJAYA: Warga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa terus memelihara integriti serta mengamalkan tadbir urus terbaik bagi mempertahankan keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap institusi komunikasi negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata penganjuran program pengukuhan integriti oleh MCMC bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya manifestasi kesungguhan pengurusan tertinggi dan seluruh warga kerja dalam memartabatkan akauntabiliti.
Menurutnya, integriti bukan sekadar mematuhi peraturan bertulis atau memenuhi keperluan audit semata-mata sebaliknya, ia bermula daripada nilai dan prinsip hakiki dipegang setiap individu, terutama berhadapan situasi yang menguji kejujuran serta amanah.
"Amanah wajib dipelihara tanpa mengira pangkat atau kedudukan manakala kuasa pula bukan satu keistimewaan.
"Setiap keputusan berhubung pelesenan, penguatkuasaan, perolehan, pengurusan sumber manusia dan hubungan industri perlu dilaksanakan secara telus," katanya pada Majlis Kemuncak Bulan Integriti dan Audit MCMC 2026 bertemakan Memperkasa Integriti, Memantapkan Tadbir Urus, di sini hari ini.
Majlis itu menyaksikan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dipimpin Penolong Pengarah Pejabat MCMC Selangor, Ahmad Azri Zainal Abidin selain penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan berbalas pantun, video kreatif serta poster digital integriti dan audit MCMC 2026.
Abd Halim berkata, warga MCMC juga perlu berani tampil melaporkan sebarang salah guna kuasa atau arahan yang bercanggah dengan perundangan menerusi saluran rasmi disediakan.
Sementara itu, anggota suruhanjaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Risiko MCMC, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod, berkata MCMC komited mengekang amalan rasuah selain mewujudkan sistem tatakelola berakauntabiliti secara berterusan.
"MCMC sentiasa melaksanakan yang terbaik bagi memastikan setiap dana diurus akan dikembalikan manfaatnya kepada rakyat secara telus dan teratur," katanya.
Sumber : Berita Harian Online