KOTA BHARU: Ketua balai polis direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah membabitkan hampir RM500.
Perintah reman terhadap anggota polis berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid.
Perintah reman sehingga 26 Julai itu diperoleh mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap jingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira jam 9.05 pagi dengan diiringi dua pegawai SPRM.
Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusuff, mengesahkan suspek ditahan kira-kira jam 2.20 petang semalam.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai ketua balai polis dipercayai menerima rasuah hampir RM500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang menjalankan perniagaan besi buruk.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Sumber : Berita Harian Online