KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Saksi penting dalam perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang, memberitahu Mahkamah Sesyen, beliau menyerahkan beg berisi wang RM1 juta kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Saksi ke-37 pendakwaan yang juga ahli perniagaan, G Gnanaraja, dalam keterangannya di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, berkata beliau menyerahkan beg itu sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
"Beg tersebut juga adalah beg yang sama dengan beg yang saya terima daripada Dato Zarul di Hotel Eastin pada 18 Ogos 2017. Lim Guan Eng telah mengambil beg tersebut dan selepas itu telah menepuk bahu Datuk Zarul yang berada di tempat duduk pemandu.
"Saya merasakan bahawa beliau menepuk bahu Datuk Zarul adalah tanda ucapan terima kasih diatas pemberian beg itu yang berisi wang RM1 juta," katanya.
CZCSB adalah syarikat yang dianugerahkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion.
Pada perbicaraan sebelum ini, Gnanaraja menjelaskan kepada mahkamah bagaimana beliau menerima wang keseluruhan berjumlah RM2 juta daripada Zarul, yang juga saksi penting kes rasuah berhubung projek jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang yang dihadapi Guan Eng.
Sumber: Berita Harian Online