Kes rasuah RTK: Tujuh pegawai penguat kuasa direman tiga hari

Tarikh: 14/11/2025
img

Kuala Lumpur: Tujuh pegawai agensi penguat kuasa yang ditahan semalam direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Perintah reman sehingga 15 November ini dikeluarkan Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, semua suspek membabitkan empat lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM semalam.

"Semua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.

"Op Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket Counter Setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dijalankan baru-baru ini," katanya.

Sumber berkata, susulan tangkapan itu juga, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas, tiga unit kereta serta dua unit motosikal.

Semalam, SPRM menahan 11 individu bagaimanapun empat daripadanya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel