Kes rasuah RM635,000: SPRM tahan 2 lagi anggota polis

Tarikh: 01/08/2025
img

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman dua lagi anggota polis disyaki terbabit kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM635,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan aktiviti perjudian.

Perintah reman selama enam hari hingga 5 Ogos ini terhadap dua suspek itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Chai Ing Hien, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan semalam kira-kira jam 9 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.

"Ia susulan penangkapan dua anggota polis, semalam, membabitkan kes rasuah bernilai kira-kira RM635,000.

"Hingga kini, SPRM telah menahan empat suspek berkaitan kes itu," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.


Sumber :Berita harian Onnline

MACC FM
My Anti-Corruption Channel