PUTRAJAYA: Dakwaan seorang saksi utama pendakwaan bahawa keterangannya terjejas akibat tekanan pihak pendakwaan membuka ruang baharu dalam rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kes rasuah projek solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Rosmah mengemukakan keterangan tambahan membabitkan saksi pendakwaan, Rayyan Radzwill Abdullah, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-16 (SP16) ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azhahari Kamal Ramli sebulat suara memutuskan Rosmah berjaya menunjukkan kes prima facie bagi penerimaan keterangan baharu berkenaan.
Dua lagi hakim yang bersidang hari ini ialah Datuk Dr Choo Kah Sing dan K Muniandy.
Kah Sing yang menyampaikan keputusan berkata, pada peringkat ini mahkamah tidak perlu menentukan sama ada dakwaan terbaharu Rayyan itu benar, sebaliknya hanya perlu menilai sama ada ia berpotensi untuk dipercayai.
"Pada peringkat ini, mahkamah tidak menentukan kebenaran, tetapi hanya sama ada ia boleh dipercayai.
"Kredibiliti sewajarnya diuji melalui pemeriksaan balas," katanya.
Antara keterangan baharu yang dikemukakan ialah dakwaan Rayyan bahawa dia ditekan pihak pendakwaan ketika perbicaraan, selain akuan berkanun serta komunikasi WhatsApp yang baru ditemui semula.
Kah Sing berkata, akuan berkanun berkenaan bersama dokumen yang direkodkan pada masa kejadian sudah mencukupi untuk melepasi ambang yang diperlukan bagi membolehkan keterangan tambahan diterima.
Lebih penting, beliau berkata, keterangan baharu itu menyentuh secara langsung persoalan utama yang membawa kepada sabitan Rosmah, termasuk sama ada beliau secara aktif meminta atau menerima suapan.
"Bahan berkenaan termasuk dakwaan Rayyan dikenakan tekanan oleh pihak pendakwaan, dakwaan kenyataannya yang direkodkan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah tidak digunakan, serta mesej WhatsApp lama yang berjaya ditemui semula daripada salinan simpanan," katanya.
Beliau berkata, Rayyan juga berpotensi berdepan liabiliti jenayah sekiranya menarik balik atau bercanggah dengan sebahagian keterangan yang pernah diberikannya sebelum ini.
"Namun, jika keterangan baharu itu akhirnya diterima sebagai benar, kesannya bukan kecil," katanya.
Beliau berkata, ia berkemungkinan memberi kesan langsung terhadap dapatan Mahkamah Tinggi yang banyak bergantung kepada keterangan beberapa saksi pendakwaan.
"Penarikan balik fakta-fakta ini dilihat boleh menjejaskan asas pembuktian utama bagi sabitan berkenaan.
"Keterangan tambahan itu, sekiranya diterima sebagai benar, boleh memberi kesan material terhadap dapatan fakta dalam kes ini.
"Justeru, ia berkemungkinan mengubah arah dapatan fakta yang dibuat hakim bicara," katanya.
Choo berkata, dakwaan bahawa keterangan saksi terjejas akibat tekanan pihak pendakwaan adalah serius kerana ia menyentuh integriti proses mencari fakta.
"Menolak permohonan dalam keadaan sedemikian akan menimbulkan kemungkinan berlakunya kegagalan keadilan," katanya.
Katanya, pihak pendakwaan sebelum ini membantah permohonan Rosmah atas beberapa alasan, antaranya kelewatan mengemukakan permohonan, masa pemfailan yang berlaku selepas kematian seorang pendakwa yang mempunyai kaitan dengan kes itu serta isu berkaitan afidavit sokongan.
Bagaimanapun, Choo berkata, bantahan berkenaan sebahagian besarnya menyentuh persoalan kredibiliti dan perkara itu lebih wajar diuji selepas Rayyan dipanggil semula untuk memberi keterangan serta menjalani pemeriksaan balas.
Mahkamah kemudian memerintahkan supaya keterangan tambahan itu direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang berbeza dalam tempoh dua minggu.
Rayyan akan dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut dan tertakluk kepada pemeriksaan balas serta pemeriksaan semula.
Mahkamah turut menetapkan bahawa sebarang keterangan tambahan yang dikemukakan mana-mana pihak hendaklah terhad kepada atau mempunyai kaitan dengan keterangan tambahan SP16.
Sumber : Berita Harian Online